Wednesday, June 17, 2009

solat: keuntungan yang membawa kejayaan

Seorang pelajar Islam berusia tujuh belas tahun, pernah disoal oleh rakan sekolah yang berlainan agama tentang kebaikan yang didapati oleh orang Islam di dalam solat. Ketika itu ia menjawab, “Kami mendapat ketenangan, dan ketenangan itu berbeza dari ketenangan yang didapati dari cara yang lain.” Walaupun sebenarnya matlamat yang dicari ialah keredaan Allah SWT, namun ini tidak diceritakan kepada rakannya, kerana ada kemungkinan rakannya tidak dapat memahami perkara itu. Kini pelajar itu telah matang dan dewasa. Soalan yang ditanya oleh rakannya 30 tahun lalu itu, tiba-tiba terlintas kembali difikirannya. Beliau mula mencari jawapan dari Firman Allah SWT bermaksud: “Telah beruntunglah orang-orang yang beriman, yang khusyuk di dalam solat mereka.” Al-Mukminun 23:1 dan dipandu pula oleh sabda Junjungan. Jawapan kepada persoalan itu, kini ditemui dan dikongsi dengan pembaca dalam artikel kali ini. Keuntungan Solat Pengetahuan mengenai kebaikan dan keuntungan solat ialah kunci yang membuka pintu kejayaan. Sejak sekian lama azan mengumandangkan seruan,“Marilah menuju Kejayaan”. Adakah kejayaan yang lain, selain daripada kejayaan yang diperoleh dari solat? Perkara ini amat penting untuk sama-sama difikirkan dengan mendalam. Jawapannya, kejayaan yang sempurna hanya akan diperoleh melalui solat sebagaimana yang dinyatakan dari ayat al-Quran tadi. Pastilah ayat ini harus difahami dengan lebih mendalam terhadap pengertian berjaya dan pengertian khusyuk. Al-Quran mengajar kita untuk berjaya di akhirat dan juga untuk berjaya di dunia. Berjaya di dunia ialah dengan menunaikan segala tuntutan dan hak yang berkaitan dengan soal kehidupan dunia.. Makna khusyuk pula hanya boleh dicapai dengan ilmu yang mendalam. Solat sebagai mi’raj orang beriman hanya dicapai jika khusyuk, dan khusyuk pula boleh dicapai dengan ilmu. Dengan itu barulah solat yang khusyuk itu akan membawa kita mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT bermaksud,“Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” Al-Mujadilah 58:11 Kita harus mengenal dua perkara, iaitu keuntungan dari solat dan pelajaran yang diperoleh daripadanya. Kita tidak lagi membincangkan prinsip solat, aplikasi prinsipnya untuk kegunaan dunia dan soal mencapai khusyuk, kerana perkara ini telah pun disentuh pada dua siri yang lalu. Mendapat keuntungan dan pelajaran dari solat adalah dua perkara yang berkaitan, kerana pelajaran itu juga merupakan satu keuntungan. Keuntungan di sini bermaksud kebaikan yang diperoleh serta-merta, sementara pelajaran pula bermaksud kebaikan yang didapati dari luar solat. Mari kita melihat inti perbincangan ini dengan menggunakan kaca mata seni. Seni yang dimaksudkan ialah sesuatu yang halus dan tinggi. Dalam satu hadis Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Solat itu tiang agama.” Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan tiang? Tiang adalah sesuatu yang berdiri tegak dan kuat. Ia berfungsi untuk mengangkat bumbung pada binaan sesebuah rumah dan tempat untuk dinding berpaut. Sekiranya rumah itu bertingkat, maka lantai juga akan turut berpaut pada tiang. Fungsi tiang amat penting, kerana jika tiang lemah dan rosak, maka lemah dan rosak jugalah struktur binaan pada sesebuah bangunan. Justeru solat itu ‘tiang’ agama, maka ia memainkan peranan yang amat penting dalam menghidupkan jiwa agama dalam diri seseorang individu. Orang yang solat mempunyai tiang tempat bersandar jiwa agama pada dirinya. Tugas agama ialah memandu kehidupannya dengan jalan yang paling ideal dan selamat di dunia. Seseorang yang tidak solat pula tidak mempunyai tiang untuk ia sandarkan jiwa agamanya. Ia di dalam bahaya, kerana dia tidak berada di bawah perlindungan yang kukuh, malah boleh runtuh pada bila-bila masa persis seperti sebuah rumah yang tidak bertiang. Justeru, orang yang solat itu beruntung, kerana binaan agama, keperibadian dan ganjaran akhirat itu padanya adalah kukuh. Sementara orang yang tidak solat itu kerugian kerana ia melemahkan jiwa agamanya, keperibadiannya dan lebih-lebih lagi mempertaruhkan untung rugi nasibnya di akhirat. Inilah keuntungan yang pertama bagi seseorang yang mendirikan solat. ‘Tiang agama’ merupakan satu kiasan. Kita tidak dapat melihatnya secara fizikal, tetapi kita boleh melihatnya dari perspektif cara hidup. Orang yang menunaikan solat setiap hari dan melaksanakannya dengan penuh pengertian, budaya hidupnya akan mengalami perubahan yang ketara berbanding orang yang tidak melakukannya. Setiap kali kita tunaikan solat, seolah-olah tiang itu hidup terus dan bertambah kuat, besar dan tinggi. Maka secara automatik binaannya yang lain akan terus diperkukuh. Solat yang dibuat dengan konsisten(istiqamah), mengukuhkan ketenangan hidup. Solat yang ditokok dengan sunat-sunatnya seperti rumah yang tersergam indah, dilengkapi segala perabotnya, jubinnya, peralatannya dan segala perhiasannya yang lain. Jadi, dengan bersolat sahaja serta-merta kita akan mendapat kebaikan. Kekuatan dan kebolehan untuk bersolat menunjukkan hati kita sudah disentuh untuk dibawa melalui jalan yang benar dan diredai-Nya, sebagaimana doa kita dalam surah al-Fatihah. Jika pandangan seseorang yang kita sanjung itu amat bererti kepada kita, keuntungan yang diperoleh apabila mengetahui Allah SWT memandang kita ketika solat adalah jauh lebih besar. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya, “Sesungguhnya Dia melihat kamu.” Keuntungan seperti inilah yang dicari, iaitu seakan kita ‘berdepanan’ dengan Allah dan mendapat perhatian dari-Nya. Bukankah kejayaan meraih pandangan Maha Pencipta yang memiliki kita, dunia dan alam semesta ini suatu kejayaan yang amat besar? Inilah antara langkah-langkah kejayaan yang dialami semasa solat. Maksud Kejayaan Kejayaan selalunya dikaitkan dengan kebendaan seperti wang, benda, pengaruh, kuasa dan sebagainya, tetapi mungkin ia juga sebagai ujian. Kejayaan sebenarnya adalah lebih menyeluruh. Orang yang beriman melihat kehidupan itu meliputi sebelum lahir, di dunia dan kehidupan yang abadi selepas ini. Kejayaan itu ialah berjaya di dalam setiap peringkat hidup yang akan dilalui. Kejayaan material amat penting, tetapi ia perlu diikat dengan matlamat mencari keredaan Allah SWT, maka barulah kehidupan itu menjadi bermakna dan meraih kebahagiaan. Jika tidak, kita hanya mendapat habuan kejayaan yang sedikit, dengan melupakan kejayaan-kejayaan lain yang lebih penting bagi kehidupan kita yang luas ini. Bagi yang ingin mempertahankan harta seharusnya juga dengan kekuatan iman. Harta yang mahu dikekalkan kebaikannya hingga ke akhirat haruslah dengan cara beriman. Kerana itu setelah kematian hanya ada tiga perkara sahaja yang telus untuk dibawa ke alam yang luas itu. (Menurut hadis:anak soleh, ilmu yang digunakan dan amal jariah). Bagaimana untuk mengekalkan manfaat harta tanpa jalan iman? Harta akan berpindah milik setelah kita pergi. Imanlah yang mengawal kita dari membazirkan harta kita kepada perkara yang tidak berfaedah. Perhatikanlah realiti hidup saban hari. Tanpa iman yang kuat, kemewahan hidup seseorang tidak dapat dipertahankan. Di sini solatlah yang menjadi kunci kepada kejayaan hidup dunia, yang seterusnya membawa kejayaan hidup akhirat. Jika difikirkan secara simplistik, hidup yang berjaya itu sangat mudah untuk dicapai. Untuk berjaya hanya perlu mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang menjadikan kita merasa susah ialah keinginan dalam diri yang suka menolak ketaatan dan mencari kemungkiran. (Jiwa al-Ammarah bis-Su’. Lihat surah Yusuf 12:53). Inilah penghalang kepada kejayaan, maka ia merugikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan yang baik (amal soleh).” Al-Asr 88: 1-2. Kadang kala bukan soal tidak percaya, tetapi soal iman yang masih belum sempurna keteguhannya. Bersabar untuk solat dan yakin ia membawa kebaikan, lambat laun akan menyebabkan kebaikan itu berakar umbi dalam diri. Solat itu bukan sahaja tiang, malah ia juga dinding untuk menghadang kejahatan itu dari ‘bersarang’ di hati. Ia umpama rumah yang menyelamatkan kita dari binatang liar apabila kita tidur di waktu malam. Dalam hidup ini, solat menjadi perisai terhadap kebatilan yang timbul dari kebuasan dan kerakusan nafsu serta bisikan syaitan yang jahat. Justeru, amat rugi sekali jika kita tidak mengambil kira keuntungan dan pertahanan yang terhasil dari solat. Ayat-ayat yang dibaca dalam solat juga memberikan keuntungan. Sekurang-kurangnya selamilah al-Fatihah yang dibaca, mungkin sebanyak 372,300 kali jika kita solat setiap hari selama 60 tahun. Mengapa begitu kerap ia diulangi? Pasti ada rahsia besar di sebalik pengucapannya dalam solat sepanjang usia kita. Memahami pengertian apa yang diucapkan, membantu kekhusyukan solat. Setiap bacaan di dalam solat boleh diertikan kepada tiga tahap pengertian. Yang pertama adalah memahami maksudnya secara literal, sama ada pengertian langsung dari perkataan Arabnya atau melalui terjemahan maksud. Kedua, jika berkemampuan, kita boleh mendalami tafsir ayat demikian. Yang ketiga ialah menyelami maksud di sebalik maksud, itu pun jika berkemampuan akal, ilmu, syariat dan diizinkan Allah SWT. (Huraiannya sila baca al-Ihya oleh al-Ghazali). Berbagai-bagai prinsip al-Quran dapat ditimba dan diaplikasi kepada kehidupan seharian. Dengan ini kita menyedari bahawa solat itu akan membawa kejayaan dunia dan akhirat kepada mereka yang takwa. Menunaikan solat sahaja sudah ada banyak kebaikannya. Namun, amat baik sekali jika ia dijalankan dalam khusyuk dan merendah diri, kerana kebaikan yang disebutkan di atas akan lebih mudah dicapai apabila mencapai khusyuk dalam solat. Khusyuk itu penting dalam mencapai kejayaan. Justeru kepentingannya maka Allah SWT mengingatkan perkara ini kepada manusia melalui Kalam-Nya. Perkara ini jangan diambil ringan. Tiang agama harus sentiasa diperkukuh. ‘Solat tiang agama’ itu adalah kebenaran di sebalik perumpamaan. Hati manusia umpama batu, penuh kedegilan untuk mengikuti arahan kepada kejayaan dan kebaikan. Allah SWT tidak sesekali mengajak kita ke lembah kepapaan, kehinaan atau kehancuran. Solat itu membawa kebahagiaan, kekayaan, ketenangan dan kegembiraan seperti juga ibadah yang lain. Firman Allah SWT bermaksud: “Taha. Tidak Kami turunkan al-Quran ini untuk kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi yang takut (kepada Allah). Ia diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.” Taha 20:1-4. Umpama air menitis ke batu, hati yang keras boleh dilembutkan jika ada kemahuan. Caranya ialah mendirikan tiang yang diusahakan sedikit demi sedikit. Lama-kelamaan ia akan membentuk mahligai taqwa yang kukuh. Terapi Jasmani Perumpamaan ini juga boleh dilihat secara fizikal. Orang yang tidak pernah solat amat sukar untuk duduk seperti posisi di antara dua sujud dan tahiyat akhir. Kaki yang kaku dan membantah itu membawa tidak keselesaan malah kesakitan, kerana ia jarang di buat di luar solat. Justeru, maka wajar juga untuk kita membincangkan kebaikan fizikal yang didapati dari solat. Yang pertama kita pasti membersihkan diri lima kali sehari kerana berwuduk wajib sebelum mendirikan solat. Anggota yang bersih akan membawa kepada kesihatan. Wajah yang sering dibasahi air wuduk kelihatan segar dan bersih, walaupun tanpa dilapisi solek. Di akhirat, wajah dan anggota itu akan menyerlahkan nurnya yang terlindung daripada pandangan mata pada hari ini. Ia membersih anggota, sekali gus menyucikan hati. Kebersihan membantu kita menjadi bersih, dan kesucian hati membantu kita bermasyarakat dengan sempurna. Tidak hairanlah orang istiqamah dalam solat boleh menjadi seorang yang lembut hati dan memiliki sifat yang terpuji. Itulah satu di antara keajaiban solat. Kebersihan hati pula sememangnya satu tuntutan solat sebagaimana pengertian dari doa Iftitah. Ia sebenarnya adalah sebahagian dari proses pelancaran hidup yang berjaya. Manusia umpama mesin. Mesin yang ditinggalkan terlalu lama tidak dapat digunakan langsung kerana dimamah karat. Maka solat dan prosesnya berfungsi sebagai pelincir kehidupan. Ia juga proses mendekatkan ruh dengan perkara maknawi dan meringankannya dari terus dibelenggu oleh unsur-unsur jasmani. Implikasinya akan terbawa sehingga saat ruh berhijrah dari jasad untuk berkelana di alam Baqa nanti. Setiap kali solat kita menjalani senaman jasmani yang amat teratur. Tiap pergerakan dibuat dengan tenang membawa kebaikan kepada peredaran darah dan juga jantung. Berbagai-bagai otot diregang dan ditekan. Tulang belakang dibengkok dan diluruskan. Keluar masuk pernafasan diatur dalam pergerakan dan juga pembacaan. Sujud mendorong darah itu masuk ke kepala dengan bantuan graviti, juga ia tidak memberi beban kepada jantung. Tidak hairanlah jika solat membawa kita merasai ketenangan fizikal selain spiritual. Detik ini dilalui lima kali sehari dan ia memberi kesan pada jasmani dan rohani. Bukankah ia kebaikan yang jelas? Ia adalah terapi, dan akan menyebabkan rasa tidak selesa jika ditinggalkan bagi yang sudah terbiasa dengannya. Ia membawa kepuasan yang sempurna sebagai insan, dan ia membawa kejayaan. Setiap yang bermula, pasti akan berakhir. Solat dibuka dengan takbir, disudahi dengan salam ke kanan dan kiri. Salam adalah ucapan, dan ia adalah salah satu daripada nama Allah iaitu as-Salam (Yang Aman). Orang Islam yang taqwa akan membawa keamanan kepada manusia dan alam sekitarnya. Orang yang membawa ketakutan kepada masyarakat bermakna ia tidak mempelajari pelajaran yang bernilai dari solat. Kita juga memberi salam kepada malaikat, makhluk Allah yang tidak kita nampak, yang memang ada di kiri dan kanan. Orang yang menyedari dirinya diapit oleh dua malaikat akan sentiasa memilih untuk memenuhi catatan kanannya dan menjauhi catatan kejahatan di sebelah kirinya. Jadi, orang yang menyedari kebaikan solatnya adalah insan yang sentiasa mencari perkara yang positif dan menjauhi perkara yang tidak produktif. Di dunia kita menjadi insan yang baik dan berterima kasih kepada Ilahi dan hamba-hamba-Nya yang mengawal kita dari jatuh ke jurang neraka. Ini satu lagi keuntungan dari solat. Black & Brown melihat al-Quran sebagai ‘lombong berlian’ yang banyak hartanya. Semakin digali, semakin banyak ‘kekayaan’ itu timbul. ‘Kekayaan’ ini ingin dikongsi supaya kita semua dapat melihat keuntungan yang memang telah ada dalam genggaman kita sejak lama. Memang benar, tidak kenal maka tidak cinta. Semoga pengenalan keuntungan solat ini menambahkan kecintaan kita untuk meniti tangga-tangga KEJAYAAN. Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment